Pages

Ads 468x60px

Friday, January 15, 2010

Sejauh mana keberkesanan Pendidikan Islam di Sekolah

Assalamualaikum w.b.t

Sejauh manakah keberkesanan Pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah. Seperti mana yang kita pernah lalui, semua pelajar di Malaysia akan mempelajari Pendidikan Agama Islam di sekolah rendah dan sekolah menengah. Sementara itu bagi pelajar sekolah aliran agama mereka akan mengambil subjek Pendidikan Quran dan Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah. Namun sejauh manakah keberkesanan kepada para pelajar.

Walaupun bermulanya daripada prasekolah, sekolah rendah dan kemudiannya sekolah menengah kita telah diserapkan dengan ilmu-ilmu keagamaan yang telah disampaikan oleh guru-guru agama namun tidak banyak ilmu yang dapat dipraktikkan . Sangat sedih dan mengecewakan apabila melihat ramai anak-anak muda lepasan sekolah hanyut begitu sahaja bagaikan tidak mempunyai pegangan agama sama ada golongan bijak pandai mahupun golongan biasa. Malahan kadang-kadang golongan bijak pandai lebih dibimbangi berbanding pelajar-pelajar biasa. Mereka tahu tetapi tidak mengamalkan. Tidak hairanlah ramai mahasisiwa IPT yang tidak melaksanakan solat. Setelah membuat sedikit tinjauan pelajar-pelajar IPT memang benar ramai yang tidak mengambil berat tentang hal solat. Solat Subuh terutamanya menjadi kebiasaan mereka tinggalkan dan ada yang masih mengambil berat sedikit menqada balik solat itu pada masa-masa tertentu. Sejauh manakah pentingnya solat pada mereka sangat berkait rapat dengan penerimaan ilmu pendidikan Islam yang diperolehi di bangku sekolah.

Ketika proses pembelajaran subjek ini, tidak semua pelajar menggemarinya. Antara faktornya guru agama mengajar dengan cara penyampaian tidak menarik dan terlalu tinggi berbanding sukatan, faktor pelajar sememangnya tidak berminat langsung dan belajar hanya untuk menduduki peperiksaan. Bagi sekolah rendah mereka tahu subjek tersebut bukan subjek peperiksaan. Inilah dikatakan belajar hanya berteraskan peperiksaan bukan untuk makanan kerohanian dan amalan harian. Ilmu yang diajar bermula daripada alam prasekolah hinggalah sekolah menengah, hanya sedikit sahaja mereka masih mengingati dan mengamalkannya.

Ketika proses pembelajaran dan pengajaran pendidikan islam ramai pelajar bosan dan mengantuk. Punca-puncanya adalah seperti yang telah dinyatakan tadi. Cara penyampaian sesuatu perkara itu sangat penting bagi memastikan proses penerimaan itu berlaku dengan lancar dan memberi kesan mendalam kepada diri pelajar. Bukan hanya masuk telinga kanan dan keluar di telinga kiri. Jika suasana pembelajaran yang kondunsif dan mencapai tahap yang baik interaksi antara pelajar dan guru, maka boleh dikatakan objektif pembelajaran tersebut akan tercapai dan pelajar mendapat kesan yang mendalam. Perkara ini bukan sahaja berlaku kepada subjek Pendidikan Islam sahaja malahan kepada subjek lain juga. Namun begitu, hal ini akan bertentangan sekiranya, guru-guru agama diberikan kepada ustaz atau usatazah yang hanya membaca buku teks untuk menghabiskan sukatan dan memberi sedikit contoh yang jauh berbeza dengan pengalaman pelajar-pelajar yang pernah dilalui. Perihal ini sangat penting kerana mempengaruhi tahap kefahaman pelajar yang sangat berguna untuk masa hadapan mereka. Pernah diajukan soalan kepada pelajar-pelajar sekolah tentang minat mereka untuk mempelajari pendidikan Islam, mereka menyatakan mereka sangat bosan memperlajarinya dan mereka tidak suka membaca dan lebih suka hanya mendengar cerita daripada ustaz mereka. Dalam hal ini, kita dapat pentingnya peranan guru untuk memastikan pelajar menghayati pelajaran tersebut. Kita juga sedia maklum,tidak ramai orang suka membaca dan subjek pendidikan islam ini memerlukan pembacaan dan kadangkala memerlukan jawapan mengikut fakta yang telah ditetapkan. Oleh itu, cara penyampaian guru sahajalah dapat membantu pelajar memahami betul-betul asas pendidikan Islam itu sendiri. Cara penyampaian yang menarik akan menarik perhatian para pelajar untuk meminati dan seterusnya memahami apa yang telah disampaikan.

Seterusnya, sistem peperiksaan sekolah rendah yang tidak menjadikan subjek Pendidikan Islam sebagai subjek utama dan penting bagi meluluskan Ujian Penilaian Sekolah Rendah telah menyebabkan mata pelajaran ini dianggap tidak penting dan hanya sampingan. Guru-guru juga hanya menekankan subjek peperikasaan besar sahaja berbanding subjek yang Allah tentukan. Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Kita tidak dapat mempertikaikannya lagi. Pendidikan sejak kecillah merupakan cara yang paling sesuai untuk diterapkan untuk menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa. Ketika usia kecillah, manusia mudah dibentuk. Bab kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebunnya. Jika semenjak kita tidak didedahkan nilai-nilai Islam agak susah untuk kita membentuknya apabila besar kelak. Sistem pendidikan yang tidak menitik berat akan hal keagamaan ini memberi kesan yang mendalam terhadap nilai sosial masyarakat dan negara.

Sesetengah pihak ada yang mempertahankan sistem ini dengan mengatakan sekolah menengah mewajibkan Pendidikan Islam sebagai subjek peperiksaan sudah memadai. Walaupun begitu, pelajar yang menduduki peperiksaan untuk pendidikan agama Islam hanya menghafal subjek berkenaan tanpa menghayatinya. Jika ditanya kembali topik-topik berkenaan selepas musim peperiksaan sudah pasti ramai tidak dapat menjawab sesempurna ketika menjawab di dalam kertas peperiksaan. Kesannya kita dapat lihat dengan jelas kini, ramai muda mudi yang rosak dan terjerumus di lembah maksiat. Belajar dengan tujuan untuk lulus peperiksaan menyebabkan ramai yang berjaya tetapi ramai juga yang tidak berguna walaupun berjaya.

Selain itu, antara faktornya ialah pelajar memang langsung tidak berminat dengan pendidikan islam. Mereka merasakan mempelajari pendidikan di sekolah tidak mempunyai sebarang kelebihan kepada diri mereka dan kabur akan matlamat dan objektif mempelajari subjek tersebut. Ada antara mereka berpendapat mereka tidak perlu mempelajarinya kerana mereka bukan mahu menjadi ustaz atau ustazah. Bagi golongan begini mereka perlu diselamatkan agar tidak terus berada dalam kekeliruan yang nyata sebagai ummat Islam. Islam untuk semua tidak mengira apa jua bidang yang diceburi . Jika dilihat secara logik, dalam hal ini, ibu bapa juga memainkan peranan dalam mengamalkan pendidikan Islam dirumah dan membina sebuah institusi kekeluargaan yang berteraskan Islam. Jika ibu bapa tidak melaksanakan solat, tidak menunaikan zakat, tidak menunaikan haji sekiranya mampu dan tidak berpuasa di bulan Ramadhan mana mungkin anak-anak dapat mengahayati rukun-rukun Islam tersebut. Dari rumahlah pelajar harus menanamkan minat untuk mempelajari pendidikan Islam.

Setelah menamatkan pengajian di sekolah, mereka akan memasuki mana-mana IPT ataupun kolej. Di sinilah pentingnya agama islam yang telah dipelajari sepanjang zaman persekolahan mereka. Di sini juga mereka menentukan hala tuju kehidupan masing-masing dan mengetahui tujuan mereka dilahirkan ke dunia ini. Sekiranya penyerapan ilmu-ilmu pendidikan Islam tidak berlaku dengan sempurna dalam diri mereka, bagaimana mereka dapat mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan yang tak terhingga ini. Mereka tidak mempunyai perisai-perisai untuk melindungi akidah dan kepercayaan yang dianggap sebagai warisan keturunan nenek moyang mereka sahaja. Maka berlakulah banyak isu murtad di IPT- IPT. Kekeliruan dan longgarnya pegangan agama mereka semuanya berpunca daripada pendidikan sejak kecil lagi. Dipengaruhi pula dengan persekitaran yang cetek nilai agamanya pasti anak-anak muda kita hanyut dibawa arus permodenan.

Cuba kita lihat sendiri silibus pendidikan islam kini yang mempunyai sedikit kekurangan dari sudut kandungannya. Silibus jihad contohnya telah dibuang atau dilupuskan dalam pendidikan islam kononnya, silibus ini bakal menimbulkan masalah. Sedangkan di dalam Islam orang islam dituntut untuk berjihad.

Walaupun telah terang lagi bersuluh kesan pendidikan Islam yang tidak diambil berat sejak dibangku sekolah, sistem pendidikan yang sama masih dijalankan sehingga hari ini. Dengan itu, bagi memastikan matlamat utama pendidikan Islam tercapai, bakal guru-gurulah yang mengambil peranan yang sangat penting bagi memastikan diri pelajar dengan Islam tidak dapat dipisahkan. Bukan guru-guru agama sahaja yang berperanan memupuk minat pelajar terhadap Islam, tetapi guru-guru bukan agama seperti guru Sains, guru Matematik dan guru Bahasa Melayu juga berperanan untuk memasuki unsur-unsur Islam dalam pembelajaran mereka. Sekiranya perkara sebegini berlaku iaitu guru-guru merasakan tanggungjawab yang besar dalam diri mereka sebagai seorang penyampai ilmu , sudah pasti para pelajar tidak akan lari pegangan yang betul lagi benar ini. Tanggunjawab dan bekerjasama antara semua guru tanpa mengira mata pelajaran sangat penting bagi memastikan ajaran Islam dihayati dan difahami dengan betul oleh para pelajar. Peluang-peluang guru bukan agama menyampaikan ajaran Islam dalam subjek yang diajar seperti Sains yang membuka minda pelajar akan hebatnya kekuasaan Allah mencipta alam akan memberi kesan dan sumbangan yang mendalam dalam sistem pendidikan Islam.

Maka dengan itu, pendidikan Islam bukan hanya perlu ditegaskan dan diajar oleh guru-guru agama sahaja bahkan kepada kepada bukan guru agama. Pendidikan yang mempunyai skop yang luas juga boleh diterapkan dalam proses pembelajaran subjek-subjek lain. Waallahualam..

0 comments:

Kenali Diriku

Click to view my Personality Profile page

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share It

 

Sample text

Sample Text