Janganlah kamu meratapi akan kematian

Memang tidak dinafikan lagi bahawa apabila berlakunya kematian orang yang kita rapat dan kita sayangi sudah tentu timbulnya perasaan sedih. Perasaan ini sememangnya satu perasaan semulajadi yang ada pada kita. Menjadi sesuatu yang tidak normal sekiranya kita tidak mempunyai perasaan ini.
Dalam keadaan sedemikian, mungkin timbul satu macam kesedihan dan kerusuhan yang berhangatan yang melanda kita hinggakan kita menitiskan air mata dan berwajah sugul. Kita sememangnya tidak dilarang sama sekali untuk bersedih. Seperti Baginda RAsulullah sendiri menangis semasa kematian putera Baginda Ibrahim dan juga semasa kematian beberapa orang sahabat yang disayanginya.
Tangisan sederhana tidaklah slah dan mendatangkan dosa. Tetapi meratap tangis sambil memukul-mukul dada,tangan dan kaki dan juga mengoyak-ngoyakkan pakaian adalah perbuatan yang dibenci oleh Agama. Ratapan dan keluhan ini tidak akan mendatangkan sedikit faedah pun kepada kita kerana orang yang telah pergi itu tidak akan mungkin kembali lagi dengan ratapan itu sebaliknya perbuatan ini akan mendatangkan kemudhratan kesihatan dan kecelakaan kepada kita dan ingatlah kesedihan yang melampau jua boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba.
Meratap ini boleh dimaksudkan berbuat Nauhah iaitu menangis sambil memberikan berbagai-bagai gambaran tentang si mati atau berteriak dengan kuat. Meratap dan mengoyak-ngoyakkan pakaian pakaiaan kerana kematian anak atau kemalangan lain sangatlah dilarang.

diriwayatkan bahawa Baginda bersabda:
" Terkutuknya wanita (yang meratap) yang mencakar-cakar mukanya sendiri , mencabik-cabik saku dan berdoa mengikut cara orang -orang jahiliyyah"

dan lagi sabda Baginda :
"Seseorang wanita yang menangisi keras-keras kepada mayat itu apabila dia tidak bertaubat sebelum matinya, maka ia akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dengan mengenakan baju gamis yang dibuat daripada tin serta baju besi yang penuh dengan kutu penyakit"

Ibnu Umar berkata, bahawa Rasulullah melarang pengusungan Jenazah yang disertai seorang wanita yang meratap dengan suara nyaring.
(Riwayat Ahmad & Ibnu Majah)

orang yang paling baik untuk menghadapi musibah ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Quran:
"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,kecuali bagi orang-orang khusyu' iaitu orang-orang yang menyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya" (Al-Baqarah ayt 45-46)

Comments