SuAra HAtI 5~...renungan sejenak

Alhamdullillah wasyukurilah..bersyukur padaMu Ya Allah....
Pada hari ini mengikut kalendar masihi genap ... tahun 1 hari suara hati hidup di dunia ini. Nampaknya umur semakin meningkat, fikiran pun haruslah sematang umur ini. Muhasabah diri amat penting setiap kali umur meningkat setahun demi setahun. Merenung kembali dosa-dosa yang dilakukan sepanjang hidup ini.

Ayah selalu berpesan jika kita korbankan usia remaja kita dengan memperjuangkan dan menegakkan kebenaran dan meninggalkan akan keseronokan dunia , ia menjadi satu kelebihan kepada kita. Bukan mudah bagi kita mengorbankan usia remaja ini dengan perkara-perkara sebegini. Apabila melihat rakan -rakan yang lain yang jauh lebih moden gaya hidupnya, timbul juga rasa ingin merasai nikmat itu. Namun Suara hati sentiasa berpesan itu hanyalah nikmat dunia,sabarlah nikmat dunia hanyalah sementara jika kita memilih nikmat akhirat ia akan selamanya.

Kebanyakan remaja kini mengatakan zaman remajalah kita nak berseronok dan bersuka ria sebelum menjangkau melangkah ke alam dewasa yang nyata lebih banyak tanggungjawab yang patut dipikul. Dengan kata-kata itu,tidak hairanlah macam-macam berita terpapar di dada akbar yang menyatakan masalah remaja kini. Apabila hilangnya malu dalam diri seorang insan yang bergelar muslim, maka banyaklah berlakunya perkara-perkara yang tidak dingini berlaku. Ingatlah malu itu sebahagian daripada iman.

Memang tidak dinafikan pada usia remaja inilah kita patut timba pengalaman sebanyak yang boleh. Tetapi pengalaman yang dimaksudkan itu bukanlah termasuk pengalaman mempunyai kekasih hati, pengalaman mencuba perkara-perkara yang dimurkai Allah, pengalaman melakukan perkara yang boleh mendatangkan aib pada keluarga.

Sedarlah pada usia remaja inilah kita diberi banyak ujian untuk menguji sejauh mana iman kita. Penghayatan dalam islam amat penting dalam hidup ini. Sepertimana kita tahu ramai kalangan remaja kini yang meninggalkan ajaran islam dan ada juga yang keluar dari islam dengan seribu satu alasan. Seorang Islam yang lahir dari hidayah Allah lebih baik berbanding seorang islam yang lahir dari keturunan. Kadang-kadang kita hanya ikut apa yang mak ayah kita suruh dan ajar namun tidak faham apa tujuan kita perlu lakukan perkara itu. Apabila kita sudah meningkat usia dan mempunyai ramai kawan, kita akan mudah terpengaruh dengan kawan dan mudah je tinggalkan apa yang mak ayah kita pesan. Iman itu adalah mutiara, ia tak dapat diwarisi daripada seorang ayah yang bertaqwa. Walaupun ayahnya seorang alim ulama' belum tentu anaknya mengikut ajaran islam.

Contoh yang jelas dapat kita renungkan ialah tentang tutup aurat, menjadi kewajipan bagi seorang ayah menyuruh anak-anaknya menutup aurat sejak kecil lagi. Bak kata pepatah melayu "melentur buluh biarlah daripada rebungnya".Namun pepatah mungkin tidak mengenai sasaran dalam isu mendidik anak dalam menutup aurat.Jika anak-anak dipaksa memakai tudung dari kecil lagi belum tentu mareka akan pakai tudung pakai sampai dewasa kelak. Hal ini berlaku kerana konsep tutup aurat dalam diri mereka masih pudar kerana ketika kecil mereka dipaksa memakai tudung bukannya dari hati mereka sendiri. Ibu bapa seharusnya memberitahu apa tujuan kita dikehendaki menutup aurat bukannya hanya memaksa tutup aurat tanpa menyatakan tujuan sebenar. Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, ramai yang tidak istiqamah melakukan sesuatu perkara itu sekiranya tidak timbul keikhlasan dalam hati untuk melaksanakannya.

Jika kita mempunyai rakan yang dahulunya memakai tudung labuh dan menjaga aurat dengan baik, belum tentu hari ini dia masih berpakaian seperti dulu. Dengan pelbagai dugaan hidup ini, manusia boleh berubah dengan sekelip mata. Jika dahulu Ustazah-ustazah kita memakai tudung labuh, belum tentu hari ini masih seprti dulu. Dari sehelai tudung yang labuh diturukan pangkat sedikit kepada tudung lerang 60 ,kemudian diturunkan lagi kepada lerang 55, dan diturun-turunkan lagi sampai yang bersesuaian dengan era global ini.

Pengalaman telah mengajar suara hati sesuatu perkara yang timbul dari hati sendiri sememangnya amat berbeza dengan perkara yang dipaksa oleh seseorang. Apabila menuntut ilmu dan mengetahui dengan lebih mendalam sesuatu perkara itu, timbul satu keikhlasan dalam melaksanakannya dan jika diizinkan Allah ia akan kekal sampai ke akhir hayat.

Sabda Nabi s.a.w :

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : انما الاعمال بالنيات وانما لكل امرىء مانوى

Maksudnya : "Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat, dan sesungguhnya bagi setiap individu itu apa yang diniatkannya...."

Comments