please read.

Assalamualaikum,

Saya tertarik akan sebuah penulisan karya Pahrol Mohamad Juoi dalam majalah Solusi isu No 18 yang bertajuk " Kamu adalah apa yang kamu baca". Saya sangat bersetuju dengan isu yang dipaparkan oleh penulis. Apa yang menarik perhatian saya, penyataan yang menyatakan apabila sukakan bahan bacaan yang kotor, ada sesuatu yang tidak kena pada hatinya. Dengan itu, bahan bacaan itu sangat penting bagi memastikan ilmu yang kita perolehi daripada hasil bacaan itu tidak menambahkan titik-titik hitam di hati kita

" Siapa diri kamu pada masa akan datang dicorakkan oleh buku apa yang kamu baca hari ini"

Dewasa ini, kita dapat lihat begitu banyak bahan bacaan picisan yang dijual di kedai-kedai buku dan majalah di sekitar negara kita. Bahan bacaan yang berasaskan gosip sensasi, kisah-kisah lucah dan cerita misteri menjadi pilhan ramai berbanding buku-buku yang bermanfaat dan bersifat ilmiah dan menjana minda.

Para penerbit bagaikan berebut-rebut menerbitkan buku-buku dan majalah yang berunsur gosip, skandal, seks, misteri, mistik dan lain-lain subjek picisan untuk mengaut keuntungan. Sememangnya menjadi lumrah manusia sukakan hiburan. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan media berpendapat sambutan hangat daripada pembaca apabila bahan bacaan itu mempunyai unsur-unsur negatif tersebut.

Hal ini sangat membimbangkan kerana melalui pembacaan yang tidak berfaedah inilah munculnya perkara-perkara yang tidak diingini. Melalui pembacaan , seseorang itu boleh terpesong akidahnya, merangsang untuk menghampiri zina dan terpengaruh dengan fitnah dan gossip yang diutarakan. Kehidupan masyarakat kini yang tidak suka membaca buku-buku yang bermanfaat telah menyebabkan kelemahan kepada ummat Islam sendiri.

Budaya henonisme yang menyajikan filem, lagu dan rancangan televisyen telah banyak meragut masa dan tenaga umat Islam. Umat Islam kadangkala tidak sedar mereka berada di dalam golongan ini. Akibat kemalasan membaca ini, kita dengan mudahnya dipermainkan dan diperkotak-katikkan oleh orang bukan Islam. Musuh-musuh Islam tidak pernah puas untuk menjatuhkan Islam sehingga kita mengikut ajarannya. Apabila melihat umat Islam yang semakin hari semakin lali dengan hiburan, terutamanya golongan pemuda-pemudi yang masih kuat menyebabkan orang bukan Islam bergembira dan bersuka ria. Tiada lagi umat islam yang memikirkan akan semangat jihad untuk menentang musuh Islam. Umat Islam dibuai dengan kepuasan hawa nafsu dan kesenangan hidup di dunia tanpa memikirkan umat Islam yang lain.

Jangan terkejut apabila musuh Islam berani menyatakan jangan takut kepada orang Islam, orang Islam kini tidak sama dengan orang Islam ketika dahulu. Mereka berani mengeluarkan buku-buku perancangan untuk menjatuhkan Islam mereka kerana mereka percaya umat Islam zaman sekarang tidak suka membaca dan sudah tentu tidak akan membaca buku-buku perancangan penerbitan mereka. Hal ini dibuktikan dengan seorang penulis Zionis yang menulis sebuah buku tentang segala perancangan dan modus operandinya untuk menghancurkan dunia islam. Kemudian setelah itu, perbuatanya dikritik oleh rakan seperjuangannya dan dengan mudahnya dia menjawab " Jangan takut.....orang Islam tidak akan membaca buku saya!".

Lihatlah dan renunglah begitu rendah martabat orang Islam sekarang. Musuh Islam tidak takut lagi akan orang Islam. Mereka mula berani menentang kita secara terbuka manakala kita tidak berani menentang malahan sanggup berada di bawah naungan musuh sendiri bagi mengelakkan ditentang balik. Penyakit cintakan dunia dan takutkan mati muncul secara automatiknya apabila umat islam hilang akan semangat jihad. Semangat jihad itu bukan datang secara bergolek, tetapi ia datang melalui pembacaan,terutamanya apabila menghayati bacaan ayat-ayat al-Quran , melalui pemerhatian dan pemantauan akan aktiviti-aktiviti orang-orang Islam dan musuh Islam dan membuat penilaian dan cuba untuk memikirkan sesuatu yang boleh kita lakukan untuk menanganinya.

Jika umat Islam sendiri susah untuk membaca sebuah buku setahun bagaimana untuk melahirkan umat Islam yang berilmu pengetahuan. Bukan hanya mementingkan ilmu naqli (al- Quran dan Hadis) sahaja tetapi perlu lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu tambahan seperti matematik, sains dan ekonomi yang dapat mengukuhkan lagi kedudukan umat Islam sekarang. Lihat saja situasi sekarang, banyak perkara yang telah dikuasai oleh musuh islam sehinggakan soal agama Islam juga ada yang mahu campur tangan. Di mana letaknya para ilmuan Islam. Jika kita lihat orang Yahudi berusaha memahami Al-Quran sebaiknya bagi menjadikannya sebagai senjata utama mereka untuk memusnahkan Islam. Mencari dan mengkaji kekuatan untuk dilemahkan. Kita pula bagaimana?

Ayuh tanamkan sifat cintakan ilmu dan suka membaca dalam kalangan anak-anak kita, anak didik kita, bangsa kita dan yang paling penting agama kita. Iqra'...


Comments