Oleh HAPPIS BASHA
Zaman kini kian berubah mengikut pelbagai acuan pemikiran. Namun, di sebalik pemikiran itu, terdapat kerencaman pemahaman yang amat mencengkam – menuju ke arah pelbagai saluran pemikiran yang bersifat liberal.
Apa yang dapat dilihat pada masa kini, pelbagai fragmen ideologi Barat menerjah sama ada dari segi ekonomi, politik, sosial, budaya, malah dijadikan sebagai satu anjakan paradigma daripada modenisme kepada pascamodenisme yang menjurus ke arah “liberal”.
Liberal yang berasal daripada perkataan Latin, iaitu liber membawa maksud bebas atau bukan hamba. Perkataan liberal juga sering dikaitkan dengan perkataan Inggeris, iaitu liberty yang membawa konsep kebebasan.
Secara amnya, liberal mempunyai sifat liberalisme yang mengutamakan hak-hak peribadi. Falsafah ini membentuk suatu masyarakat yang mempertahankan pemikiran yang bebas bagi setiap individu. Ini mengakibatkan munculnya pelbagai perbezaan pendapat yang mendalam, malah wujud di dalam rangka liberalisme. Perbezaan pendapat ini membawa kepada perdebatan yang hebat di antara ahli-ahli liberal.
Dalam History of Rome from Its Foundation, Livy menggambarkan pergolakan di antara kelas plebeian dan patrician. Marcus Aurelius di dalam tulisannya yang bertajuk Meditation, berkata “… pendapat polisi (dasar) pemerintahan yang berdasarkan kebebasan kepada hampir kesemua yang diperintah dan pendapat tentang kerajaan beraja berdasarkan kebebasan kepada hampir kesemua yang diperintah…”
Selepas kejatuhan Empayar Rom, pendapat dan pendukung liberal tidak cergas lagi di sepanjang Zaman Kelam di Eropah. Perjuangan untuk kebebasan mula dihidupkan kembali semasa zaman Renaissance di Itali. Ia mula tercetus apabila pertelingkahan berlaku di antara penyokong-penyokong bandar negeri yang bebas dan penyokong-penyokong Paus. Niccolò Machiavelli kemudiannya di dalam Discourses on Livy mula melakarkan prinsip-prinsip kerajaan republik pada awal abad ke-16.
Pertelingkahan ini mengakibatkan perpecahan dari sudut liberalisme klasik, juga wujud beberapa pergerakan di dalam liberalisme. Liberalisme klasik merupakan satu cabang falsafah liberalisme yang menekanan kerasionalan manusia, hak-hak harta peribadi, hak-hak semulajadi, kengkangan perlembagaan ke atas kerajaan, perlindungan hak-hak sivil, pasaran bebas dan kebebasan peribadi. Disebabkan perpecahan itu, maka lahir beberapa aliran dan pergerakan liberalisme seperti neoliberalisme, liberalisme budaya, lliberalisme klasikal, ordoliberalisme, liberalisme konservatif, paleoliberalisme, liberalisme sosial dan liberalisme ekonomi.
Berbanding dengan aliran lain, liberalisme budaya lebih mengunjurkan sistem pragmatik yang negatif dengan menekankan hak-hak peribadi yang berkaitan dengan cara hidup dan perasaan hati termasuk kebebasan seksual, kebebasan beragama, kebebasan pemahaman dan perlindungan daripada campur tangan kerajaan di dalam kehidupan peribadi.
Umumnya, liberalisme budaya menentang peraturan-peraturan kerajaan di dalam seni, akademik, perjudian, seks, pelacuran, pengguguran kandungan, penggunaan pengawalan kehamilan, arak, dadah, serta perkara-perkara dan barang-barang kawalan yang lain. Kebanyakan pendukung liberal menentang hampir semua peraturan kerajaan yang mencampuri hal-hal ini.
Menurut ideologi Barat, liberalisme dapat diklasifikasikan sebagai satu fahaman, falsafah, dan tradisi politik yang meletakkan kebebasan sebagai nilai politik yang tertinggi. Ia bermula dari Zaman Kebangkitan Barat dan kini mengandungi pemikiran politik yang luas dan kaya dari segi sumber.
Liberalisme mula mengalami perubahan mendadak dengan membentuk pendapat yang menyatakan bahawa manusia bebas boleh membentuk asas masyarakat yang stabil. Pendapat ini mula diketengahkan oleh John Locke (1632-1704) di dalam tulisannya yang bertajuk Two Treatises on Goverment.
Di dalam tulisannya itu, beliau telah memperkenalkan dua ideologi liberal yang penting, iaitu kebebasan ekonomi yang bermaksud kebebasan untuk berharta dan mempergunakannya, serta freedom of conscience seperti yang dibentangkan di dalam A Letter Concerning Toleration (1689).
Beliau membina pendapat awal mengenai hak-hak semulajadi (natural rights) yang dilihat sebagai “kehidupan, kebebasan, dan harta”. Teori dan hak-hak semulajadi ini telah menjadi asas pembentukan idea hak-hak asasi manusia. Pada akhir abad ke-17, John Locke menulis England and the Thinkers of the French Enlightenment untuk mengkaji perjuangan kebebasan dari sudut Rights of Man yang pernah ditulis oleh Thomas Paine pada tahun 1791.
Perang Kemerdekaan Amerika Syarikat yang meletus telah menubuhkan negara yang pertama untuk merangka satu perlembagaan berdasarkan konsep kerajaan liberal, iaitu kerajaan mentadbir dengan ‘kerelaan’ yang ditadbir. Manakala elemen bourgeois yang sederhana di dalam Revolusi Perancis pula, cuba menubuhkan sebuah kerajaan yang berdasarkan prinsip-prinsip liberal.
Di Sepanyol pula, kumpulan yang merangka Perlembagaan Sepanyol 1812 (yang dirangka di Cadiz) menggunakan perkataan liberal di dalam politik sebagai kata nama. Mereka menamakan diri sebagai Liberales bagi memberi tentangan kepada pemerintahan mutlak monarki Sepanyol. Pada awal kurun ke-18, liberalisme menjadi ideologi yang terpenting di negara-negara maju.
Sememangnya hari ini reaksi kita perlu positif apabila berhadapan dengan dominasi Barat pada peringkat global, dan hipokrasi terhadap Barat secara diplomasi adalah penting. Namun, tanpa sumbangan dan ideologi kita sendiri, kita akan dikecam sebagai defensif pula. Apa yang menghairankan, mereka tidak mempersoalkan isu-isu etnik, budaya dan politik di Eropah dan Amerika Syarikat yang bertentangan dengan demokrasi dan hak asasi manusia.
Tidak dapat dinafikan bahawa mereka sering berteori tentang kejahilan dan barbarisme di Asia dan Afrika, malah terus menjadikan strukturalisme sebagai spekulasi bagi menunjukkan bahawa segalanya itu berpunca daripada sistem budaya etnik masyarakat Asia dan Afrika sendiri. Andaian teori mereka bahawa Asia dan Afrika tidak mampu membentuk masyarakat majmuk adalah kerana terlalu jauh daripada fahaman “liberal”.
Pada era ini, Barat dapat diidentifikasikan menjadi dua era, waktu modenisme dan pascamodenisme. Modenisme mengheret pandangan hidup saintifik yang antropomorfisme (persamaan kejadian manusia dengan tuhan), sekularisme, rasialisme, empirisisme, pemikiran dikotomi, pragmatik yang bersandarkan teori negatif, penafian kebenaran metafizik, kurangnya penerapan didaktisisme terutamanya daripada segi moral dan etika kehidupan, seterusnya membina ideologi dan fahaman “liberalisme moden” yang dibawa oleh pendukung liberalisme moden. Kebanyakan fahaman baru ini menggugat akidah umat Islam kerana secara realistik, ianya logik bagi akal.
Berbeza pula dengan pascamodenisme yang merupakan aliran mengkritik modenisme sehingga mendatangkan pelbagai kecelaruan minda. Hasilnya, wujud pemahaman-pemahaman baru yang disalahtafsirkan seperti relativisme, pluralisme, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pascamodenisme masih menjadi aliran modenisme dan kedua-dua istilah ini menjadi konsep kefahaman corak kehidupan yang bercelaru di era globalisasi ini.
Kini, tidak dapat ditolak lagi dan amat menyedihkan apabila kesan refleksi pengaruh Barat telah mula mengalir dalam pemikiran sesetengah golongan umat Islam, dan ini dapat dilihat daripada arca pembaharuan pemikiran keagamaan Islam atau tajdid. Pembaharuan sering diterjemahkan menjadi modenisasi, dan kini ke arah menjadi liberalisasi. Padahal tajdid berbeza daripada modenisasi ataupun liberalisasi, baik secara etimologi mahupun konsep. Malangnya, perbezaan ini tidak dicermati, dan konsep-konsep di dalamnya diterjah tanpa proses epistemologi Islam yang jelas.
Selain itu, usaha-usaha pembaharuan pemikiran atau tajdid sesetengah umat Islam kini ternyata masih bersifat spektisisme (keraguan), evasif, iaitu tidak didukung oleh komuniti yang spesifik dalam mengkaji, meneliti, menyelaraskan, dan mengembangkan pemikiran kefahaman Islam dari pelbagai sudut. Apa yang dikhuatiri konsep tajdid sering ditekankan oleh segelintir umat Islam yang bertunjangkan kepentingan kebendaan dan keduniaan yang mencakupi semangat dan bentuk-bentuk jahiliah sahaja.
Pembaharuan seperti itu tidak akan membawa kepada pencerahan minda, tetapi menimbulkan banyak keraguan dan konflik. Ini mengakibatkan kefahaman, idea, nilai, dan falsafah ilmu Barat moden dan pascamodenisme bercampur baur dalam pemikiran sesetengah umat Islam. Akhirnya, Muslim berbicara mengenai ilmu pengetahuan Islam, sejarah Islam, bahkan ajaran Islam dengan pemahaman, nilai, idea, serta pendekatan yang berhubungan dengan terminologi Barat. Di sini menimbulkan persoalan, mengapakah terjadi sedemikian rupa?
Apa yang diperlukan dalam pembaharuan pemikiran Islam adalah dengan menggali kembali khazanah ilmu pengetahuan Islam. Dengan keserasian yang bersandarkan epistemologi Islam, khususnya kepada para ilmuwan dan ulama Islam agar mereka berganding bahu bersama-sama berijtihad dan bertajdid serta melahirkan konsep-konsep Islam yang tersendiri yang bersesuaian dalam pelbagai bidang. Tajdid adalah usaha untuk menghidupkan semula Islam dalam bentuknya yang murni, serta menyusun semula corak hidup dan masyarakat dengan nilai dan prinsip-prinsip Islam. Islam amat memandang tinggi terhadap kebebasan, tetapi kebebasan itu seharusnya berada pada landasan kebenaran.
Selain itu, mengkaji pemikiran dan kebudayaan asing terutama Barat amat penting terutama daripada sudut pandangan hidup, falsafah, epistemologi, dan konsep-konsep penting lainnya agar Muslim tidak terjerumus dalam kerja-kerja justifikasi Barat semata-mata.
Jika waktu modenisme dan pascamodenisme tidak dilihat dalam konteks Islam dan menjadikan ia ‘sesuatu prospek’ yang bernilai dan bersesuaian di mata Islam, sudah tentunya ia akan menjadi ’tusukan’ kepada nilai-nilai Islam yang sedia ada dan akhirnya umat Islam akan ketinggalan dalam serba-serbi di era global ini.
Sesungguhnya amat digeruni jika pemahaman dan ideologi “liberalisme moden” mengalirkan sifat-sifat negatif ke dalam dunia Islam, kerana pemahaman ini akan mendatangkan suatu revolusi kepada Islam masa kini yang akhirnya menutupi syariah Islam. Sudah masanya umat Islam bangkit menyedari dan membuka lembaran baru bersama konsep Islam yang teratur dan berada di ruang lingkup yang ditetapkan al-Quran dan Sunnah.
Allah s.w.t menjadikan setiap manusia bersama akal fikirannya tetapi mempunyai berbagai-bagai pemahaman dan pemikiran. Oleh hal yang demikian itu, Allah s.w.t. meletakkan Islam serta mengutus Rasulullah s.a.w sebagai garis panduan agar manusia tidak hidup di dalam kegelapan, kerosakan, dan kesesatan. Amat menyedihkan jika kehidupan kita terus dibuai dengan hipokrasi terhadap agama, bangsa, apatah lagi terhadap Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui segala-galanya.
Comments