Jangan jaga tepi kain orang - ideologi barat

Seringkali kita mendengar akan kata-kata jangan jaga tepi kain orang. Masyarakat kini ramai berpegang kepada kata-kata ini. Tanpa disedari bahawa kata-kata ini menjadi punca utama kurangnya amalan nasihat-menasihati antara sesama kita dan sekali gus mengurangkan amalan amar makruf nahi mungkar. Ungkapan jangan jaga tepi kain orang ini menjadi salah satu ideologi kebebasan barat yang mementingkan kebebasan peribadi.

Kebebasan inilah yang menghancurkan masyarakat sedikit demi sedikit. Akhlak remaja yang semakin runtuh bagaikan perkara biasa di arena ini. Hak kebebasan yang tidak bertempat ini juga telah menjatuhkan martabat islam dengan keadaan sambil lewa melaksanakan syariat. Melaksanakan islam, tetapi tidak secara keseluruhannya.

Melihat akan masyarakat yang semakin hanyut dengan permodenan sangat membimbangkan. Masing-masing dengan dunia yang tersendiri. Merasa marah apabila perbuatan dan kegiatan mereka ditegur walaupun jelas sekali bertentangan dengan syarak. Lunturnya amalan saling nasihat-menasihati dalam kalangan masyarakat memberi kesan yang mendalam dalam pembangunan insan yang berakhlak. Dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang atau tidak mahu mengganggu perihal orang lain, masyarakat merasakan mereka terlepas daripada tanggungjawab melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Sedangkan setiap insan perlu menyeru ke arah kebaikan.

Perasaan takut dicop sebagai penyibuk dan pengacau hal orang lain menghantui masyarakat kini. Apabila melihat sesuatu kemungkaran, masing-masing hanya mampu berdiamkan diri dan sekurang-kurangnya merasa benci dengan perbuatan tersebut. Manakala ada sesetengah pihak langsung tidak ambil peduli. Seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim.
Daripada Abu Sa'id al-Khudrie r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa di kalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman.

Situasi-situasi seperti melihat pelajar sekolah ponteng, budaya pergaulan bebas yang melampaui batas dan perbuatan maksiat yang lain pasti pernah berlaku di depan mata kita sendiri. Namun seberapa manakah yang sanggup melaksanakan amalan tegur-menegur dan nasihat menasihati.

" Dan hendaklah ada di antara kamu suatu golongan yang mengajak orang berbuat baik, menyuruh mereka mengerjakan kebaikan dan melarang mereka daripada berbuat yang mungkar dan hanya mereka itulah orang-orang yang betul-betul beruntung"- Surah Ali-imran ayat 104.

" Dan ajaklah ummat manusia ke jalan Tuhan-mu: sesungguhnya engkau benar-benar berada di atas petunjuk yang lurus- Al Hajj ayat 67.

Ibu bapa juga mengambil peranan berat dalam hal ini. Seperti yang telah dinyatakan oleh penyelidik punca gejala sosial daripada UPM, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, pengaruh luar amat berkuasa terhadap remaja, lazimnya bukan daripada keluarga sendiri.

Justeru, ibu bapa tetap perlu berhati-hati dengan menyimpan 50 peratus ketidakpercayaan terhadap anak, termasuk membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa.Selain itu, disyorkan ibu dan bapa melakukan ‘pemeriksaan fizikal’ yang sewajarnya dan secara berhemah terhadap anak perempuan dan juga anak lelaki dari semasa ke semasa demi memastikan mereka tidak menyembunyikan sebarang ‘tanda’ berkaitan.

"Dalam konteks ini, jangan mudah terpedaya dengan ideologi kebebasan peribadi dari Barat kerana ada ibu bapa harus mengetepikan elemen privasi demi menyelamatkan anak selagi tindakan yang diambil tidak melampaui batasan,” katanya.

Dengan itu wajarlah semua pihak mengambil peranan dan tanggungjawab untuk melaksanakan amalan tegur-menegur dan nasihat-menasihat.

Renung-renungkan surah AL-ASR.

Demi Masa, sesungguhnya SEMUA manusia itu di dalam kerugian, KECUALI mereka yang berIMAN, dan beramal soleh, Dan berpesan2 pada kebaikan, dan berpesan2 pada kesabaran.


" BERKATALAH BENAR WALAUPUN IA PAHIT"


*pesanan untuk diri sendiri juga

Comments