Apabila ibu bapa perlu mengambil peranan



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Ibu bapa main peranan penting elak pelajar babit kes sosial


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyifatkan syor mewajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berkesan dalam membentuk sahsiah dan mengelak keruntuhan moral remaja.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan itu bukan jalan terakhir mengekang masalah moral kerana jika dilaksanakan ia hanya berorientasikan peperiksaan.

“Masalah moral remaja khususnya pelajar tidak dapat diselesaikan walaupun kerajaan melaksanakan perkara ini. Perkara pokok adalah peranan ibu bapa dalam membentuk anak-anak bagi mengelak terjerumus dalam masalah sosial.

“Jangan hanya melihat isu mata pelajaran tetapi perlu mengambil kira cara didikan ibu bapa di rumah selain mereka perlu memantau pergaulan anak-anak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meminta kerajaan mewajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan SPM. ...selanjutnya


Seterusnya..

"Pornografi, bahan lucah bukan punca jenayah seks"



Salah laku moral kerana tekanan perasaan, kurang kesedaran

KUALA LUMPUR: Tekanan perasaan atau kurang kesedaran mengenai jenayah salah laku seks menjadi antara faktor mendorong pelaku terbabit dalam gejala itu.

Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, jenayah salah laku seks tidak ada kena mengena dengan internet dan hiburan yang dipaparkan media, sebaliknya terjadi kerana pilihan pelaku jenayah atas sebab tertentu.

“Pihak yang mendakwa salah laku seks berlaku kerana hiburan yang dipaparkan media dan capaian internet tanpa sekatan adalah pihak yang enggan mengaku kesilapan sendiri. Dalam hal ini, ibu perlu memainkan peranan untuk mendidik serta memberi penerangan mengenai kebaikan dan keburukan sesuatu perkara kepada anak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam

Harussani dilaporkan berkata, pihaknya mendapati pembelajaran agama Islam di kalangan pelajar masih belum mencukupi untuk membentuk sahsiah dan moral mereka, selagi mata pelajaran itu tidak dijadikan mata pelajaran wajib. Selanjutnya..


Ulasan Suara Hati

Sekarang kita dapat lihat ada pihak yang mula peka terhadap keberkesanan matapelajaran Pendidikan Islam apabila dikaitkan dengan masalah moral dan gejala sosial yang semakin meruncing kini. Dalam hal ini, kita dapat lihat masing-masing mencari punca masalah sahsiah dan moral ini berleluasa. Ada pihak yang menyalahkan kementerian kerana tidak menjadikan subjek pendidikan islam sebagai mata pelajaran wajib dan ada juga pihak yang berfikir sebaliknya dengan menyalahkan ibu bapa kerana terdapat sedikit kekurangan dalam cara mendidik anak-anak di rumah.

Cuba kita berfikir sejenak, apakah sebenar tugas ibu bapa dan apakah tugas sebenar seorang guru? Kedua-dua tugas ibu bapa dan guru adalah untuk mendidik. Tetapi kita perhatikan pula sejauh mana perlaksanaan kedua-dua pihak ini melaksanakan tanggungjawab ini. Sesetengah ibu bapa sibuk dengan kerjaya mereka. Pihak guru pula hanya menganggap tugas mereka sebagai tenaga pengajar sahaja bukan sebagai pendidik. Secara umunya, pembentukan sahsiah dan akhlak ini bukan hanya menilai subjek pendidikan islam dan moral sahaja. Berdasarkan falsafah pendidikan kebangsaan sendiri kita ketahui bahawa

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Semua subjek yang diajar di sekolah sepatutnya diajar secara seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Maka tiada lagi isu untuk mewajibkan Pendidikan Islam dan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan. Semua subjek yang dihubungjalin dengan pendidikan islam.

Memang tidak dinafikan bahawa jika dibandingkan jumlah jam ibu bapa bersama anak-anak lebih kurang berbanding jumlah jam anak-anak bersama guru-guru mereka. Namun begitu, ibu bapa tidak sepatutnya menyerahkan tugas mendidik sepenuhnya kepada para pendidik. Apabila anak-anak mengalami masalah akhlak dan moral, ibu bapa mula menyalahkan pihak sekolah kerana tidak mampu mendidik anak mereka dengan sebaiknya,manakala pihak sekolah pula bertindak sebaliknya.

Ibu bapa sebenarnya orang yang paling hampir dan paling awal memulakan pendidikan anak-anak. Kebanyakan ibu bapa kini agak sibuk untuk mencari nafkah sehingga lupa untuk memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka. Keluar awal pagi sampai lewat malam ke rumah. Dalam pendidikan anak-anak, ibu bapa perlu mengambil peranan paling besar. Sejak awal kelahiran lagi ibu bapa telah mula mendidik anak-anak. Sekiranya tersilap langkah didikan sejak awal lagi , hal ini akan memberi kesan yang buruk kepada anak-anak apabila besar kelak. Dalam perkembangan kanak-kanak sendiri banyak perkara yang menitikberatkan akan cara ibu bapa mendidik anak-anak sejak kecil lagi.

Oleh itu, semua pihak seharusnya berganding bahu menyelesaikan masalah pelajar dan remaja sekarang. Didikan di rumah dan didikan di sekolah, keduanya penting dalam pembentukan sahsiah dan moral. Ibu bapa dan para pendidik mainkanlah peranan kamu sebaiknya. Bekerjasama dalam mendidik anak bangsa yang sedang lena dengan keselesaan dalam keseronokan dunia ini.

*hanya pandangan peribadi

Comments