Hakim Syarie Wanita

Perbezaan Pendapat di Sebalik Perlantikan Hakim Syarie Wanita
www.iluvislam.com
Dihantar Oleh : skyjamil
Editor: Isyrak

Baru-baru ini apabila kerajaan telah melantik dua orang hakim wanita yang pertama di negara ini, timbul sedikit keluh-resah di kalangan masyarakat tentang hukumnya - apakah diharuskan atau tidak. Meskipun terdapat fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai isu ini, namun ramai yang masih keliru. Ini berkemungkinan kerana keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu tidak dihuraikan dengan terperinci tentang nas-nas dan dalil-dalilnya. Rujukan dalam laman web fatwa berkenaan, didapati penjelasan yang diberi sangat terbatas dan terlalu ringkas iaitu dengan berpegang kepada pandangan dari Mazhab Hanafi yang membenarkan perlantikan hakim wanita dibuat dalam kes-kes yang tidak melibatkan Hudud dan Qisas.

Jika niat kerana Allah, pasti Allah akan menunjuk jalan

Bagi sesiapa yang berpeluang membaca dan mengkaji isu ini, sudah tentu anda akan dapati, banyak penulisan-penulisan yang merumuskan bahawa para fuqaha telah berselisih pendapat mengenai perlantikan hakim wanita ini. Terdapat dua pandangan yang paling popular iaitu pandangan pertama seperti yang dikemukakan oleh Jumhur Fuqaha yang terdiri dari Mazhab Syafii, Maliki dan Hanbali, mereka semuanya menolak perlantikan hakim wanita sekalipun dalam kes-kes yang kesaksian wanita diterima seperti dalam kes yang melibatkan pertikaian harta.

1. Antara hujah-hujah mereka adalah tafsiran kepada ayat al-Quran dalam Surah al-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan.”

Menurut al-Mawardy (al-Ahkam al-Sultaniyyah), lelaki mempunyai kelebihan dari segi akal fikiran sedangkan terdapat kekurangan wanita dari aspek itu.

2. Berdasarkan Hadis:

“Tidak akan berjaya sesuatu kaum yang melantik wanita mengendalikan urusan mereka.” (Sahih Bukhari. Jil. 9)

3. Dalil Aqli: Tugas seseorang Hakim memerlukan ia duduk di antara pihak-pihak yang bertelagah termasuklah dari kalangan lelaki jadi ditakuti akan menimbulkan fitnah.

4. Faktor sejarah: Tiada sebarang riwayat yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. dan para Khulafa al-Rashidin pernah melantik hakim dari kalangan kaum wanita dan ini diikuti oleh pemerintah Islam selepas itu. Jika dibenarkan, sudah tentu akan tercatat di dalam sejarah bahawa pernah dilantik hakim wanita walaupun seorang.

Manakala Mazhab Hanafi pula dikatakan menerima perlantikan hakim wanita di dalam kes-kes yang selain Hudud dan Qisas. Pandangan ini berdasarkan kaedah Qiyas iaitu jika wanita diterima menjadi saksi dalam kes-kes selain Hudud dan Qisas maka dalam kes-kes yang sama wanita juga boleh menjadi Hakim. Dengan kata lain mereka menyamakan tugas memberi kesaksian dengan tugas memberi penghakiman. Hujah ini dikukuhkan dengan ayat al-Quran Surah al-Baqarah: 282, yang membolehkan wanita menjadi saksi dalam keadaan tiada saksi lelaki.

Bagi Mazhab Hanafi, ayat al-Quran yang dihujahkan di dalam Surah al-Nisa’ di atas, hanyalah dikhususkan dalam kepimpinan rumahtangga sahaja dan bukannya mencakupi hal ehwal harta, agama dan urusan amar makruf dan nahi mungkar. Manakala hadis di atas juga ditolak oleh mereka kerana ia menyatakan larangan kepada kaum wanita untuk memegang jawatan pemimpin tertinggi dan bukannya sebagai hakim. Malah ia hanyalah jawapan Rasulullah s.a.w. terhadap persoalan semasa yang dikemukakan oleh para sahabat mengenai tindakan Raja Parsi yang melantik anak perempuannya sebagai pengganti baginda.

Pandangan mazhab Hanafi ini juga telah diterima dan dipersetujui oleh ulamak kontemporari iaitu Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam bukunya Fatawa Mu’asirah, juz 2. Dan seperti mana yang kita maklum, pandangan Mazhab Hanafi ini juga yang menjadi pegangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Jadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan

Benarkah Mazhab Hanafi membenarkan perlantikan hakim wanita

Menurut Tuan Guru Dato’ Haji Salleh Haji Ahmad (bekas pensyarah UM, Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Fellow Kanan, Kulliyah Undang-Undang UIA) dalam kertas kerjanya bertajuk Hukum Perlantikan Hakim Syarie Wanita yang dibentangkan di Muzakarah anjuran Jabatan Mufti Selangor tahun 2006, menyatakan bahawa para mujtahidin telah ijmak bahawa tidak harus melantik wanita sebagai hakim atau kadi, malah jika pihak berkuasa bertegas mahu melantik juga hakim dari kaum wanita, maka perlantikan itu dianggap sebagai berdosa dan wanita yang menerima perlantikan itu juga berdosa kerana menerima perlantikan yang bertentangan dengan Hukum Syarak.

Bagi Dato Haji Salleh, pandangan yang menyatakan mazhab Hanafi mengharuskan perlantikan hakim wanita sebenarnya adalah “SATU SALAH TANGGAPAN” kerana hakikatnya Mazhab Hanafi juga tidak pernah mengharuskan perlantikan hakim wanita. Punca salah tanggapan ini kerana terdapat satu kenyataan yang dipetik dari kitab al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi karangan al-Marghinani (1936) jld 3, hal. 107 yang bermaksud:

“Harus penghakiman (qadha’) wanita dalam semua perkara kecuali hudud dan Qisas sahaja”

Menurutnya, apa yang dimaksudkan oleh pengarang kitab ini dengan perkataan (penghakiman-al-Qadha’) bukanlah bermaksud mengharuskan melantik hakim wanita secara total kerana perlu dibezakan antara tindakan pemerintah melantik Hakim (al-tauliah wa al-taqlid) dengan perbuatan hakim menjatuhkan hukuman (al-Qadha’). Justeru, apa yang dimaksudkan dengan kenyataan ini adalah tindakan pemerintah untuk melantik hakim wanita tetap dilarang dan berdosa tetapi jika dilantik juga hakim dari kalangan wanita maka hukuman atau keputusan yang dijatuhkan oleh hakim wanita itu tetap dikira sah dan lulus pada kes-kes selain Hudud dan Qisas jika menepati al-Quran dan Sunnah. Menurut Dato’ Hj Salleh lagi dalam tulisannyai:

“Kesimpulannya fuqaha’ dalam Mazhab Hanafi bersatu pendapat dengan mazhab jumhur fuqaha’ tentang hukum haram melantik wanita sebagai hakim dan berdosa raja atau mana-mana pihak berkuasa yang melantiknya. Perbezaannya ialah apakah hukuman wanita itu lulus (boleh dikuatkuasakan) atau tidak? Jumhur Fuqaha’ berpendapat tidak lulus hukumannya sama sekali. Sementara ulama Mazhab Hanafi berpendapat hukuman lulus dengan dua syarat:

i. Hukuman itu hendaklah pada yang lain daripada Hudud dan Qisas;

ii. Hukuman itu hendaklah menepati al-Quran dan al-Sunnah.

Perbahasan mengenai kesilapan memetik pandangan dari Mazhab Hanafi ini juga turut dikupas dengan panjang lebar oleh Dr Muhammad Ra’fat Usman dalam bukunya al-Nizam al-Qadha’I fi al-Fiqh al-Islami.

Jika hujah ini diterima, timbul persoalan, apakah hujah yang digunakan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam melantik hakim wanita ini tepat kerana mengikut pandangan ini Mazhab Hanafi sendiri tidak membenarkan perlantikan Hakim wanita.

Realiti

Dalam satu kertas kerjanya yang bertajuk Hakim Wanita: Suatu Paradoks, Prof Madya Datin Dr Siti Zalikhah Md Noor telah menyatakan tentang kedudukan beberapa Negara Islam yang sudah pun melantik wanita sebagai hakim iaitu Sudan dan Pakistan yang kedua-duanya berpegang kepada Mazhab Hanafi. Manakala Negara Indonesia juga telah lama melantik hakim wanita di dalam Pengadilan Agamanya yang menyamai Mahkamah Syariah di Malaysia. Kajian yang dibuat pada tahun 2004, terdapat lebih ramai hakim wanita di Pengadilan Agama di seluruh Indonesia walaupun mereka berpegang kepada mazhab Syafii. Di Malaysia, para wanita juga telah menjawat jawatan yang penting dalam institusi kehakiman Negara malah sudah ramai peguam syarie, pegawai syariah, pendaftar mahkamah syariah juga dilantik dari kalangan kaum wanita.
Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, kerana, kita yakin sebelum keputusan membenarkan perlantikan hakim wanita ini dibuat, pihak yang berkenaan seperti para mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sendiri telah beberapa kali mengadakan seminar dan wacana mengenai isu ini. Apa yang dipaparkan di sini hanyalah beberapa hujah untuk dikongsi bersama dengan pembaca yang masih ragu-ragu dan keliru dengan situasi yang berlaku.

Pandangan Dato’ Haji Salleh, walaupun mungkin tidak diterima pakai ketika ini, namun kajian tentangnya harus diteruskan kerana ia telah memberi dimensi baru dalam isu ini disokong dengan hujah yang mantap. Apa pun, terserahlah kepada ulul amri untuk menentukan pendapat mana yang sesuai dilaksanakan ketika ini. Walaupun begitu, apa yang pasti, ulul amri juga mempunyai kuasa untuk menerima pakai pandangan yang lain pada masa akan datang jika didapati perlantikan hakim wanita ini bersesuaian dan tidak mendatangkan masalah.

Namun begitu amatlah tidak wajar sama sekali bagi sesetengah orang yang mensifatkan perlantikan hakim wanita di Mahkamah Syariah merupakan satu kejayaan kepada perjuangan memartabatkan kaum wanita di negara ini. Perlantikan seseorang hakim adalah berdasarkan kriteria yang sangat ketat serta mengikut keperluan. Ia bukan kerana perjuangan kaum wanita dan bukan juga kerana untuk memartabatkan wanita tetapi ia kerana adanya nas-nas dan pandangan yang jelas bersumberkan al-Quran dan Sunnah yang membenarkannya.

*Penulisan ini hanyalah sekadar ulasan ringkas dan tafsiran bebas penulis terhadap makalah-makalah seperti di bawah:

1. Kriteria Perlantikan Hakim Syarie Wanita (Dato’ Syeikh Hj Ghazali Abd Rahman-Mantan Ketua Hakim Syarie Malaysia) JH Mac 2007

2. Hakim Wanita: Satu Paradoks ( Prof Madya Datin Dr. Siti Zalikhah Md Noor-Pensyarah Jabatan Syariah UKM) JH Jun 2007

3. Hukum Perlantikan Hakim Syarie Wanita (Dato’ Hj Md Salleh Hj Ahmad-Fellow kanan Kulliyah Undang-Undang UIA dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor) JH September 2007

Rujukan tambahan:

1. Dr Muhammad Ra’fat Usman, al-nizam al-Qadha’I fi al-Fiqh al-Islamy

2. Dr Abdul Karim Zaidan, Nidzam al-Qaha’ Fi al-Syariat al-Islamiyah

sumber: iluvislam

Comments

Popular Posts