Kemalangan Bas tahun 2010


2010/12/20


KUALA LUMPUR: Kemalangan bas di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, hari ini yang meragut 27 nyawa adalah yang paling dahsyat dalam sejarah negara. Dalam nahas pada 11.10 pagi tadi, 22 orang mati di tempat kejadian, empat meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan 1 lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Kemalangan terburuk melibatkan sebuah pas sebelum ini berlaku pada 13 Ogos 2007, apabila 20 orang terbunuh dan sembilan cedera di KM229 Lebuh Raya Utara-Selatan, di Bukit Gantang dekat Taiping.
Berikut kemalangan bas yang berlaku tahun ini, tidak termasuk nahas pagi tadi.

16 DIS -- Empat kakitangan Jabatan Penjara Tawau terbunuh apabila bas jabatan itu terbabas lalu terjatuh dalam gaung di Kampung Moyog, 35 kilometer dari Penampang dekat Kota Kinabalu.

14 DIS -- Seramai 14 orang pekerja kilang cedera apabila bas kilang yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di Km 156.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Nibong Tebal, Pulau Pinang, selepas bergesel dengan sebuah treler yang turut terhumban ke dalam parit.

11 DIS -- Tiga pelajar Institut Kemahiran Mara Jasin, Melaka parah apabila bas yang mereka naiki terbabas dan terbalik di kilometer 304.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Gopeng, Perak.
4 NOV -- Seorang maut dan dua cedera parah selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik ke dalam sebuah tali air di Kampung Sungai Miang, di km20 Jalan Pekan-Nenasi, Pahang.

29 OKT -- Tujuh penumpang maut dan 39 cedera termasuk 17 parah apabila sebuah bas terlibat dalam kemalangan di KM36 Lebuhraya Karak ke Kuala Lumpur.

10 OKT -- 13 penumpang maut dan 40 cedera apabila bas ekspres terlibat kemalangan di KM223 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat-Rembau.

2 SEPT -- Lapan belas orang cedera apabila bas persiaran yang dinaiki terbabas dan terbalik di Km 35.1 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur.

27 OGOS -- Seorang pemandu bas ekspres terbunuh manakala tiga cedera parah dan enam cedera ringan apabila bas yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Km306.2 Lebuhraya Utara-Selatan.

17 APRIL -- Seorang penumpang patah tulang rusuk manakala enam yang lain cedera ringan apabila sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Baharu ke ibu negara terbabas di KM32 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Kulai Jaya, Johor.

20 MAC -- 40 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut apabila kenderaan berkenaan terbabas dan terperosok ke dalam tali air di Km 42 Jalan Kuantan-Kemaman.

4 FEB -- 15 penumpang bas Ekspres Konsortium yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur nyaris maut selepas bas berkenaan melanggar dua kenderaan lain di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang. - BERNAMA

sumber

Dasyat betul kes kemalangan bas tahun ini. Kami sebagai perantau yang sentiasa berulang-alik dari rumah ke institut dengan menaiki bas membaca berita ini sambil menelan air liur. Semua ketentuan Ilahi. Kepada pemandu bas dan syarikat bas perlulah mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa ini.

Doakan sepanjang perjalanan kami pergi dan balik selamat. Demi menuntut ilmu, perjuangan perlu diteruskan.

"Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok . Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."
-Surah Luqman ayat 34-

Firman Allah Ta’ala :

al-anbiyaa


surah-al-Jumuah-ayat-8

Yang bermaksud : “Katakan (wahai Muhammad) sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya). -Surah Al-Jumu'ah ayat 8-



Setiap manusia akan menghadapi maut. Kita juga tidak tahu bila kita mati dan dimana kita akan mati. Tempoh hidup dan mati umpama tempuh pertunangan dan perkahwinan. Marilah kita bermuhasabah dan mengenangkan dosa-dosa yang bagaikan pepasir di pantai. Perbanyakkan beristighfar dan memohon ampun dan taubat sebagai hamba yang hina ini.

Kepada sahabat-sahabat yang mengenali saya memohon seribu kemaafan andai ada tersilap laku, terlanjur bicara dan mengguris hati. Mintak maaf banyak-banyak.

Comments