Mereka lebih matang dan berfikiran jauh, bagaimana pula kita??
Melihat rakan-rakan muslimah umur sebayaku yang jauh lebih berfikiran jauh dan matang memang menimbulkan persoalan.
Penulisan mereka memandang jauh ke hadapan. Setiap bait-bait hurufnya mampu mendidik jiwa.
Semangat perjuangan mereka jauh lebih hebat berbanding aku yang kadangkala ON dan OFF
Bilakah masanya aku mampu menjadi seperti mereka ini.
Adakah masa yang diberikan kepada mereka lebih daripada 24 jam? Sudah tentu tidak.
Bagaimana menguruskan jadual kehidupan yang penuh dengan aktiviti yang jauh bermanfaat daripadaku.
Juga teringat salah satu muwasofat tarbiyah adalah tersusun urusannaya.
Kefahaman yang jauh mendalam terhadap jalan yang dilalui ini.
Gerakan tanpa kefahaman tidak menjamin sejauh mana mampu untuk kita melangkah tanpa berpaling muka.
Adakah kerana situasi mereka berbeza denganku? Benar, situasiku kadangkala terlalu selesa sehingga aku terlupa akan tanggungjawab sebenar yang perlu aku laksanakan.
Aku juga sering memikirkan sejauh mana kefahaman muslimah berbanding muslimin tentang dasar sebenar akan matlamat pejuangan.
Adakah muslimah hanya mendiamkan diri dan mengangguk semua apa yang dibincangkan?
Teringat kembali akan kisah perjuangan Zainab Al-Ghazali. Pemikirannya, semangatnya dan perjuangannya tidak kurang hebatnya dengan pejuang-pejuang yang lain. Diseksa setaraf dengan seksaan lelaki ketika dalam tawanan.
Semua orang mempunyai peranan masing-masing. Tiada sorang mampu duduk diam. Seperti dalam permainan bola sepak.
Umpama kata-kata Kak Musliha,
" Kuasa bola- (membentuk team hebat mudah-mudahan). Setiap posisi pemain memberi sumbangan kepada kemenangan sesuatu team..satu padang yang disusun cantik kedudukannya. Bila berada dalam satu padang, tidak ada yang tidak menyumbang..paling tidak pun..sentuh bola."
Setiap pemain mempunyai posisi masing-masing. Ada yang berperanan sebagai penjaga gol, penyerang, tengah dan pertahanan.
Setiap posisi memainkan peranannya. Dalam permainan ini juga terdapat kaptennya yang mengetui pasukan.
Permainan disusun rapi bagi memastikan memastikan gol yang diimpikan tercapai. Semangat berpasukan dalam satu team inilah penentu kejayaan.
Setiap pemain apabila berada dalam satu padang tidak ada yang tidak menyumbang, paling tidak pun pasti akan membuat lebih daripada satu sepakan ataupun tandukan.
Begitu juga dengan mereka yang memilih jalan sebuah perjuangan, yang mempunyai matlamat yang jelas.
Haruslah mempunyai satu perancangan yang strategik dan sistematik untuk memastikan matlamat tersebut tercapai.
Di samping itu, pemain-pemain atau anggota pasukan perlulah saling berganding bahu dan bersatu padu dalam merealisasikan impian untuk mencapai matlamat yang diimpikan.
Satu padang juga boleh dimaksudkan dengan satu medan perjuangan.
Inilah dikatakan sesuatu matlamat yang ingin dicapai perlu mempunyai strategi yang tersusun. Sesuai dengan ayat-ayat Cinta Allah dalam surah As-Saff-4 dan kata-kata Saidina Ali " kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun".
Sirah Rasulullah s.a.w juga dalam peperangan yang dianggotai oleh baginda tersusun rapi. Terdapat strategi dan perancangan yang tersendiri yang diilhamkan oleh-Nya.
Begitu juga dengan pimpinan Sultan Al-Fateh dan Solehuddin Al-Ayyubi, mempunyai perancangan yang rapi.
Kejayaan yang dikecapi juga hasil daripada semangat berpasukan yang ditonjolkan. Manakan bergerak kapal di daratan andai tiada tentera-tentara yang menolaknya.
Setiap orang mempunyai peranan masing-masing. Walaupun sekecil-kecil perkara namun atas tujuan untuk memperjuangkan Islam tetap dikira. Jangan dirisau hanya dengan hanya menjadi ukang masak bagi mereka yang memperjuangkan agama pasti turut sama mendapat ganjaran dari-Nya. Sekecil-kecil zarah pun akan dikira.
Kisah penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Mekah ke Kota Madinah juga menunjukkan semua orang mempunyai peranan masing-masing,penghantar makanan, penyelidik dan lain-lain.
Jangan dipandang remeh bagi mereka yang mungkin tidak mempunyai jawatan-jawatan yang tinggi tetapi memegang jawatan jawatankuasa makanan, kebajikan, keselamatan, pengangkutan dan logistik. Semuanya mempunyai tugas masing-masing. Andai salah satu tidak berfungsi, maka mempengaruhi perlaksanaan sesuatu perancangan. Tiada jawatankuasa makanan, alamatnya kelaparan lah semuanya.
Kepelbagaian individu dalam sesuatu pasukan juga perlu. Jangan merasa rendah diri mahupun iri hati andai kita tidak sama dengannya. Setiap orang mempunyai kelebihan tersendiri. Ada yang banyak bercakap, ada yang banyak berfikir, ada yang pendiam tetapi banyak berfikir, ada yang banyak bercakap dan banyak berfikir, ada yang begitu syadid, ada yang begitu bersahaja, ada yang memilih golongan pertengahan. Itulah indah ciptaanNya. Itulah yang dikatakan saling melengkapi. Apabila ada yang salah, ada pula orang yang menegur. Beradalah pada posisi masing-masing, tetapi apa yang penting kita memberi sumbangan kepada perjuangan ini.
Comments