TIDAK semua..

Banyak perkara yang ingin dicoretkan sebenarnya, namun kekangan-kekangan yang timbul menyebabkan jejari ini tidak sempat untuk menyusun bait-bait huruf di laman ini.

TIDAK semua orang sefikrah dengan kita
TIDAK semua orang mampu mendengar kata-kata kita
TIDAK semua orang mampu menghormati kita
TIDAK semua orang dapat berubah hati dengan apa yang kita perkatakan

Kuasa yang mampu menghilangkan perkataaan TIDAK itu hanya berada pada kuasa Allah yang MAHA Esa.

Kita hanya mampu berusaha, namun semua itu bukan sepenuhnya bergantung kepada usaha kita, hanya Allah lah yang mampu memberi hidayah kepada mereka.

TIDAK semua orang sefikrah dengan kita
Aliran pemikiran dan kefahaman akal manusia sememangnya sangat unik. Walaupun ada yang mempunyai persamaan dalam gaya pemikirannya, namun pasti masih ramai lagi yang mempunyai pemikiran yang berbeza. Pendirian yang tersendiri di kukuhkan lagi dengan keyakinan yang terlalu tinggi dalam diri seseorang itu membuatkan pemikirannya tidak dibenarkan disangkal sama sekali. Memaksa orang menerima segala yang diperkatakan olehnya.
Apa yang perlu dilakukan?
Cuba menjadi sahabatnya dan sedikit demi sedikit sebarkan pemikiranmu kepadanya. Tunjukan kepada mereka pemikiranmu itu mempunyai bukti dan praktikal yang kukuh. Terpulang kepadanya menerima atau tidak. Namun hati manusia itu secara fitrahnya memang sukakan kebaikan. Bertawakallah kepada Allah yang membolak balikkan hati manusia.
TIDAK semua orang mendengar kata-kata kita
Benar.. Tidak semua orang mendengar kata-kata kita. Secara logiknya dalam sepuluh orang jurucakap dalam mempromosikan perniagaan, hanya dua atau tiga orang sahaja mampu mendapatkan keyakinan pelanggan untuk membeli barangan niaganya. Barangan tersebut akan dibeli apabila jurucakap tersebut mempunyai keyakinan yang tinggi dalam menerangkan barangan tersebut, disamping mempunyai bukti-bukti keberkesanan barangan tersebut dan yang tidak kurang penting juga jurucakap tersebut menggunakan barangan tersebut juga. Duta produk haruslah menggunakan apa produk yang diwakilinya dan hasilnya dilihat dari pandangan mata kasar masayarakat.
Apa maksudnya?
Orang akan mendengar kata-kata kita apabila mereka melihat sendiri kita mengamalkan apa yang kita katakan. Orang juga akan mendengar sekiranya melalui pandangan mata kasar mereka melihat kita menunjukkan contoh-contoh yang baik sehingga menambat hati-hati mereka untuk turut sama untuk berbuat sedemikian ataupun menyimpan keinginan untuk berlaku sedemikian. Tunjukkan akhlak yang baik bagi manambat hati-hati insan ini. Dari mata jatuh ke hati. Dari hati timbulnya penghormatan. Dari penghormatan lahirnya kepatuhan dan ikutan.
Ucapkanlah kata-kata yang baik.
TIDAK semua orang mampu menghormati kita
Sekiranya kamu inginkan kehormatan, kamu haruslah terlebih dahulu menghormati orang lain. Penghormatan itu bukan hanya penghargaan malahan satu bonus untuk menyampaikan kebenaran itu dijadikan sebagai ikutan. Tiada kehormatan, tiada kepatuhan arahan yang berlaku. Tidak perlu untuk dihormati terlalu tinggi dan tidak sekali dibiarkan menjadi semakin rendah dan jatuh.
TIDAK semua orang berubah hati dengan apa yang kita perkatakan
Sama seperti yang dinyatakan sebelum ini. Hati itu milik Pencipta. Hidayah itu jua milik Pencipta. Sampaikanlah walaupun sepatah ayat. Kuasa yang memegang kunci hidayah dan pertunjuk hanya pada-Nya.
Jangan putus-putus berdoa agar diberi hidayah dari yang MAHA PENGASIH lagi MAHA PENYAYANG.


“Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar RasulullahSallallahu’alaihiwasallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.

(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Comments