Taklif laa tasyrif

Minggu depan pilihanraya kampus bakal bermula. Patah tumbuh hilang berganti. Itulah yang diibaratkan bagi penyambung rantai-rantai perjuangan. Bakal menyambung perjuangan yang terdahulu. Bukan mudah untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang besar untuk menjaga kebajikan dan hak mahasiswa.

Jangan diperlekehkan mereka yang memegang jawatan-jawatan ini, berterima kasih kepada mereka kerana sanggup berkorban segalanya bagi memperjuangkan hak dan membela kebajikan mahasiswa. Biar dikatakan sebagai kuli kepada HEP, namun besarnya pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah atau pemimpin itu tidak mampu kita huraikan. Soal keikhlasan dan niat tidak perlu dipertikaikan, cukuplah dengan melihat gerak kerja mereka yang bertungkus lumus dalam memastikan kelancaran program-program yang diatur untuk masyarakat kampus disamping dalam memastikan kelangsungan biah solehah kampus.


Mereka tidak kisah akan maki hamun dan caci maki mereka yang sentiasa tidak berpuas hati dengan kepimpinan mereka. Mereka yakin usaha mereka bukan sia-sia kerana akan dinilai sendiri oleh yang Maha Kuasa. Tidak terjejas dengan pandangan manusia kerana pandangan Allah itu lebih penting.

Bagilah kepercayaan sebaiknya kepada pemimpin yang telah kita pilih nanti. Berilah kerjasama sebaiknya kepada mereka. Mereka akan bergerak dengan baik andai kita sentiasa memberi kerjasama yang terbaik.

Mereka yang mengaku sebagai pejuang-pejuang agama Allah tidak akan mudah untuk berputus asa dan tidak cepat mengeluh letih dan penat. Hakikat perjuangan itu pahit kerana syurga itu manis.

Taklifan itu bukan satu kebanggaan malahan sebagai amanah yang berat.

Kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif).
عن أبى ذرّ قال: قلت يا رسول الله ألا تستعملنى فضرب بيده على منكبي ثم قال: " يا أبا ذرإنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدّى الذي عليه فيها.
Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."
(Riwayat Muslim)

Sebagai pemuda dan pemudi yang sebenar, tidak akan membiarkan hidupnya hanya terikat dengan 3K iaitu KELAS, KAFE, KATIL. Sebagai generasi muda yang mempunyai kudrat yang masih kuat perlulah menyumbangkannya kepada agama yang tercinta dan membantu dalam proses pembangunan ummah.

Lahirnya pemimpin-pemimpin hebat adalah daripada proses tarbiyah yang sangat lama yang mempunyai peringkat-peringkat yang dapat mematangkannya dengan pengalaman-pengalaman dan sentiasa berfikir dalam menyelesaikan masalah ummah.

Tidak akan membiarkan dirinya sahaja baik tanpa menarik mereka yang lain.

 Jika kita bukan hartawan seperti Abdul Rahman bin Auf. Kekayaannya dibahagikan kepada dua iaitu pernah diberikan kepada fakir miskin dan pernah pula keseluruhannya digunakan terhadap fisabilillah demi menegakkan panji-panji Islam. Cukuplah kita menjadi hamba yang fakir yang sanggup mengorbankan masa, harta dan jiwa terhadap perjuangan akidah ini

Buat jundullah ketahuilah bahawa terdapat tiga tugas utama bagi seorang ahli organisasi terhadap pimpinannya:

1. Bersedia untuk ditarbiyah dalam apa jua keadaan
2. Bersedia untuk menerima segala arahan selagi tidak bertentangan dengan syarak
3. Bersedia untuk disusun atur dalam mana-mana posisi bagi menjalankan kelangsungan dakwah

Pertamanya bersedia untuk ditarbiyah dalam apa jua keadaan. Bukan mudah untuk terus beristiqamah dan hati terus thabat dalam perjuangan ini. Tarbiyah merupakan tunjang yang sangat penting dalam meneruskan kerja-kerja dakwah. Jangan kita mengelak daripada ditarbiyah. Kita perlu berani untuk ditarbiyah andai kita sendiri ingin mentarbiyah orang lain. Ditarbiyah untuk mentarbiyah. Jangan kita biarkan kita menjadi futur.

Seterusnya, bersedia untuk menerima segala arahan selagi tidak bertentangan dengan syarak. Selagi apa yang diarah tidak bertentangan dengan syarak jangan kita membelakanginya. Kerana mungkin itu yang terbaik perlu diikut. Kita seharusnya patuh kepada ketua. Kerana ketualah yang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku terhadap kita. Tanpa ketua kita tidak mampu mengawal keadaan dalam keadaan banyak kepala yang ingin pemikiran mereka patut diterima oleh semua orang.

Dan yang ketiga, bersedia untuk disusun atur dalam mana-mana posisi bagi menjalankan kelangsungan dakwah. Andai diberi sebarang amanah, haruslah menerimanya dengan hati terbuka. Allah akan sentiasa membantu kepada mereka yang memerlukan. Taklifan itu jua berakar umbi daripada taklifan Allah ingatlah. Andai semua ingin mengundur kebelakang, siapa lagi yang ingin meneruskan kelangsungan dakwah ini. Kita bukan pemula perjuangan tetapi penyambung rantai-rantai perjuangan. Kelangsungan dakwah itu memerlukan kader-kader yang sanggup berkorban dalam apa jua keadaan.

عن عبد الرحمن بن سمرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم " يا عبد الرحمن لا تسأل الإمارة فإنَّك إن أوتيتها عن مسألة وكلت إليها وإن أعطيتها من غير مسألة أعنت عليها
Maksudnya: Daripada Abdul Rahman bin Samurah, daripada Nabi SAW sabdanya: “Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)

(Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)



Comments