Anak Panah

Tiada yang mustahil dalam hidup ini. Teringat lagi ketika diri dipaksa menjerit sekuat hati menyebut kata-kata keramat Saad b. Abi Waqas. Apabila menyebut kembali akan kata-kata ini, menyelirap darah di seluruh tubuh memenuhi oxsigen di seluruh anggota terutamanya di bahagian otak. Inilah sebuah kenangan yang menjadi bekalan semangat buatku untuk terus melangkah dan melangkah. 

Laungan "Ana Romyun min rimayatil Islam, Farmii, aina ma syi'ta!" memberi seribu satu kenangan yang tidak bisa dilupakan. " Aku adalah anak panah daripada anak-anak panah Islam, campakkanlah aku ke mana sahaja, aku tetap berjuang demi Islam".




Menyebutnya memang mudah, namun sejauh mana aplikasi tepuk dada tanya iman. Lazimnya telinga yang bercakap lebih dekat berbanding telinga yang mendengar. Kekuatan itu harus terus dicari jangan sampai futur di pertengahan. Berjuanglah untuk Islam walau di mana kita ditempatkan. Kadangkala Tuhan hanya menghujani hambanya dengan batu-batu halus dan kecil dan kadangkala menghempapkan batu bata yang beratnya hampir 2.5 kg. Mulut mudah untuk membicarakan akan sebuah pengorbanan dan perjuangan, hakikatnya tidak seiring dengan gerakannya. Ujian yang sedikit sahaja kadangkala menyebabkan dirinya melangkah kebelakang. Sedangkan dia tahu sesuatu yang lebih baik menunggunya dihadapan. 

Anak-anak panah ini perlu diasah dijaga dan dikemaskan agar tidak jatuh condong senget sebelah. Biarlah apabila anak panah itu dicampak, jatuh pada tepat sasarannya dan terpacak tepat padanya. Batang panah yang seimbang juga menjadi aspek penting bagi memastikan keseimbangan ketika panah dilepaskan. Gilap kan kebolehan, bersedialah ditarbiyyah dan bersedialah untuk memegang mana-mana posisis kedudukan. 

Apabila diberi sesuatu peluang dan amanah, laksanakan sebaiknya. Ramai orang ingin kemenangan, namun tidak ramai yang mampu mengisi kemenangan tersebut. Jangan sampai pada penghujungnya barulah menyesal dan kecewa kerana tidak dapat melaksanakan itu ini. Refleksi kembali apa sumbangan kamu kepada Islam. Jiwa manja kononnya letih dan perit melalui jalan sempit, namun fikirkan kembali apa sangat sumbangan kamu kepada Islam sehingga terkeluarnya kata-kata penat dan letih. 

Berfikir, berfikir dan terus berfikir. Kadangkala baru kita sedar betapa sikitnya sumabangan kita kepada agama itu sendiri. Umpamanya, seorang juruhias diberikan sebuah rumah kosong untuk dihiaskan. Sebelum diberi kerja tersebut bersemangat ingin mendapatkannya, namun setelah mendapat kerja tersebut hanya ruang tamu dan dapur sahaja dihiasnya. Bilik tidur,tandas dan bilik stor dibiarkan sahaja. Setelah hampir cukup tempoh masa yang diberikan, barulah dia perasan bahawa masih ada kekurangan hasil kerja yang dibuat. Sebab itulah pentingnya muhasabah dan refleksi kembali segala gerak kerja dan hasil sepanjang tempoh kerja yang diberikan. Jangan baru penghujungnya baru menyedari  bahawa masih banyak kerja-kerja lopong yang ditinggalkan. 

Pemikiran yang sempit dan tertutup menjadi salah satu faktor lambatnya sesebuah kemengan.

Comments