"Maafkan Ana, Ana perlu tumpukan kepada study...Masih banyak yang belum diulangkaji" lembut Ana menyatakan sebab tidak menghadiri program . Bukan Aina seorang yang mempunyai masalah ini malahan masih ramai yang lain mempunyai masalah sebegini. Tidak ketinggalan masalah-masalah lain seperti masih banyak kerja yang belum selesai, masalah keluarga dan lain-lain.
Cuba fikirkan sejenak, semua kenyataan yang diberikan sebab itu merupakan masalah ataupun cabaran?
Inilah dikatakan perencah sebuah kehidupan dan perjuangan. Sebelum ini pernah saya selitkan akan kata-kata K.H Rahmat Abdullah,
" Allah akan sentiasa menguji antum pada titik kelemahan antum, orang yang lemah dalam masalah harta, namun kuat dalam masalah pangkat dan wanita, tidak diuji dengan pangkat dan wanita, orang yang sentiasa mudah tersinggung dan pemarah, akan diuji oleh Allah dipertemukan dengan orang-orang yang sentiasa membuatnya tersinggung dan marah , seseorang yang sentiasa lambat dalam dakwah kerana alasan isteri mertua, tetamu akan sentiasa dihadapkan dengan alasan-alasan itu , mentua datang, tetamu datang bersilih ganti, yang akan terus menundakannya untuk bersegera menghadiri program dakwah, sampailah dia boleh mengutamakan agenda dakwah dalam kehidupannya"
- K.H Rahmat Abdullah (Cinta Sang Murabbi)
Imam Hassan Al-Banna juga ada menyatakan tanggungjawab itu melebihi masa yang kita ada.
Ketika alam kampus ini, kita akan dibebankan dengan timbunan tugasan yang berterusan dan tidak kurang juga untuk mengulangkaji pelajaran bagi memastikan pointer tidak jatuh dan corot.
Seringkali diingatkan bahawa Akademik No1 Jemaah bukan No 2 dan begitulah sebainya. Inilah yang dikatakan cabaran-cabaran yang dilalui oleh mahasiswa. Ustaz Hasrizal dalam blognya Saifulislam.com dalam aktikal yang agak popular iaitu ' Jenayah Akademik Aktivis Dakwah'.
..................................................................................................................................
Antara petikan daripada blog beliau...
‘ESCAPISM’
Kenapa suka berdakwah tetapi lesu di bilik kuliah?
...................................
ALASAN
Melebihkan dakwah mengatasi pelajaran boleh berlaku atas sebab yang pelbagai.
“Ana tahu… dah duduk di universiti ni, mana ada yang lebih penting selain pelajaran. Tapi entahlah… macam dah tak ada mood nak study!”, kata seorang pelajar.
Alhamdulillah… biar pun tindakannya membelakangkan akademik itu salah, tetapi sekurang-kurangnya beliau mengakuinya. Menyedari bahawa dirinya sedang berdepan dengan masalah. Mudah-mudahan lebih jelas jalan untuk keluar dari kesulitan ini.
Tetapi, kebimbangan itu datang apabila pelajar-pelajar yang aktif dengan dakwah membelakangkan usaha dan ikhtiarnya di dalam pelajaran dengan kepercayaan yang salah. Kepercayaan yang disangkanya sebagai jalan beragama.
..................................................................................................................................................................
Akademik Vs Dakwah
Bukan mudah untuk menghadapi segala cabaran ini. Ada segelintir yang amat mementingkan prestasi akademik berbanding gerak kerja dan ada pula yang mementingkan gerak kerja berbanding akademik.
Haruslah seimbang keduanya.
" Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)." At-taubah -42
Jangan berhenti berlari mengejar kejayaan. Jadikan kejayaan akademik tiket untuk pergi lebih jauh. Dunia itu jabatan ke akhirat, mana mungkin kita tidak mengambil kisah akannya. Kita bukan mereka yang hanya berada di dalam masjid. Bergeraklah.
Ini belum dikaitkan lagi dengan lambakan kerja, masalah keluarga, rumah tangga dan lain-lain.
Pengurusan CINTA
Akhir-akhir ini di laman Facebook, begitu ramai yang menjadikan CINTA antara topik hangat dan bahan untuk di share dan like.
Cinta selepas kahwin, Cinta dalam diam, Cintamu dalam sujudku, Cintaku keranaMu...dan macam-macam lagi yang berkaitan dengannya. Sebelum ini aktivis dakwah kebanyakan mengalami masalah untuk mengimbangkan BELAJAR dan DAKWAH, namun kini cabaran yang halus lagi tersirat perlu dilalui oleh para aktivis adalah CINTA.
Mereka mula memikirkan akan membina baitul muslim sehingga gerak kerja mula terumbang-ambing dan tidak dinafikan juga ada yang masih pada landasan yang betul malah lebih bersemangat.
Asalnya niat membina baitul muslim itu mulia mula menjadi fitnah dalam kalangan ahli gerakan. Mula menjadi keliru yang mana perlu diutamakan.
Baitul Dakwah?
Fikirkan dan reflek kembali apa tujuan untuk berbaitul muslim dan lebih tepat adalah baitul dakwah. Kedua-dua istilah ini juga berbeza makna tersiratnya.
Apa tujuan sebenar?
Apa matlamat sebenar?
Mengapa memilihnya?
Bagaimana untuk menguruskannnya?
Siapakah orangnya?
Bilakah masa yang sesuai?
Apabila memikirkan hal ini, menyebabkan kerisauan yang besar melanda diri. Bukanlah bermaksud anti dengan isu ini, namun sekiranya mereka yang sedang bergolak dalam dilema ini semakin hari semakin tidak tahu arah tuju. Itulah menjadi satu kerisauan kepada yang lain.
Malah sekiranya tidak pandai menggunakan peluang yang ada ini, akan menimbulkan satu fitnah yang besar kepada agama sendiri. Inilah adalah fitrah manusia yang tidak dapat disekat.
Apa tujuan sebenar? Fikirkan kembali.
Tiada istilah Couple Islamik yang menghalalkan cara.
Jika benar peliharalah sebaiknya, jangan kerana diri kita mendatangkan fitnah yang sangat besar.
Jika sudah percepatkanlah kebelangsungan akadnya,
Jika tidak mampu bermujahadahlah melawannya.
Jika belum yakin untuk menghadapi risiko janganlah pula cuba untuk melangkahinya.
Cabaran pertama yakni BELAJAR belum lulus lagi ujian yang diberikan, ada yang sudah berani untuk mengambil ujian yang seterusnya iaitu CINTA.
Aku Mencintaimu Kerana Agamamu
Benar, satu kenyataan yang tepat. Memulakan cinta kerana bersama melalui liku-liku perjuangan bersama, memulakan kerana melalui pahit manis bersama. Namun aruslah CINTA itu diurus dengan betul. Pada jalan yang betul, pada masa yang betul, pada tempat yang betul.
Sejujurnya CINTA itu anugerah yang tidak ternilai yang Allah kurniakan pada hambaNya. Cinta yang bersulam dusta itu akhirnya mendatangkan duka.
Sedih, andai yang memahami agama itu sendiri berkelakuan umpama mereka yang masih jahil. Inilah kepentingan memahami cara untuk menguruskan perasaan dan diri.
Usia akhir remaja inilah paling ramai mengalami masalah seumpama ini.
Jika benar itu jodoh kita, biarlah Allah aturkan yakinlah akan ketentuannya, Berdoalah agar memperolehi yang tebaik dan bersesuaian.
Comments