Teringat salah satu kisah israk mikraj, di mana Rasulullah melihat ketika perjalan israk iaitu kisah menghimpun beberapa berkas kayu yang dia tidak terdaya memikulnya tetapi semakin ditambah pula kayu teersebut. Perumpamaan seorang yang memegang amanah tetapi tidak mampu untuk melaksanakannya tetapi masih juga dia hendak menerima amanah lain.
Alhamdulillah satu amanah telah saya lepaskan, namun dengan melepaskan amanah dan tanggungjawab
tersebut bukan bermakna saya meninggalkan sepenuhnya. Takut dengan soal jawab diakhirat kelak. Sedar bahawa amanah yang dijalankan tidak diselesaikan dengan sebaiknya. Mungkin kesilapan sepanjang melaksanakan amanah tersebut mendatangkan masalah kepada mereka yang perjuangan diposisi tersebut.
Tanpa kita sedar, kita meninggalkan satu demi satu amanah yang telah dipikul, namun kita jarang kali berfikir sejauh mana kita melaksanakan. Tiada makna penyesalan tanpa tindakan. Ku memohon keampuanan dariMu agar mengampuni dosa-dosa lalu. Berilah kesempatan yang ada padaku kini untuk menyelesaikan tugas-tugas yang belum selesai.
Ingin Suara Hati selitkan petikan artikel
PETIKAN DARI BLOG YDP 11/12
Fakrul Hafiz
Alhamdulillah biiznillah, esok tanggal 16 JANUARI 2012 maka berakhirlah salah satu amanah dan taklifan yang telah ditetapkan kepadaku. Menjadi pemimpin ini bukan sesuatu yang mudah. Segala keputusan akan tertumpu kepada mereka yang berada di atas. Itulah pentingnya kita memilih pemimpin yang sebenar-benarnya.
Bebanan yang Mendidik
Aku tidak tahu bagaimana ingin aku meluahkan perasaanku sekarang ini. Terlalu banyak pahit manis yang aku lalui sepanjang melalui liku-liku kehiudpan sepanjang berada dalam organisasi kepimpinan ini. Ingin melepaskan suatu jawatan yang paling penting dalam perwakilan pelajar boleh dinyatakan bahawa satu bebanan telah hilang. Bebanan yang mampu mengajar kita menjadi lebih matang dengan masalah-masalah yang dihadapi, bebanan yang mendidik kita untuk terus tabah dan kuat dalam menghadapi dugaan, ancaman dan cabaran, bebanan yang mengajar kita mendengar dan menghormati pandangan orang lain, bebenan yang membentuk kita agar menjadi lebih baik daripada hari semalam, bebanan yang menunjukkan kepada kita akan bernilainya masa dan peluang dalam kehidupan kita, bebanan yang membawa kita untuk terus menjadi qudwah hasanah kepada mereka yang berada di bawah lingkungan kepimpinan kita. Terlalu banyak yang ingin dicoretkan akan betapa banyaknya ilmu dan pengalaman yang diperolehi ketika kita menjadi pemimpin.
Hidup Umpama Roda
Kadangkala kita tidak sedar bahawa apa yang kita lalui sebelum dan sekarang ini adalah satu persediaan kepada kita untuk mengharungi kehidupan yang sebenar selepas ini. Sejarah itu pasti berulang, kerana itulah ia dijadikan sebagai rujukan dan kajian bagi memastikan sejarah yang buruk itu tidak berulang dan sejarah yang baik itu terus dijulang.
Hidup ini umpama roda. Kadangkala kita berada di bawah dan kadangkala kita berada di atas. Dengan itu haruslah memastikan diri ini sentiasa bersedia menghadapi dalam apa situasi sesekalipun kita berada di atas di bawah dan di tengah.
Amanah dan Pengorbanan
Ketika kehidupan berada dalam ikatan amanah, gaya hidup tidak mampu mengikut kepuasan hati sendiri semata-mata. Amanah yang dipikul bukan sekadar mencari pengalaman tetapi melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi. Memperoleh keredhaanNya disamping menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.
Menjadi pemimpin itu juga amanah bukan satu kebanggaan. Tiada istilah mereka gila kuasa dan pangkat. Ketahuilah tanggungjawab ini wajib dilaksanakan bagi menyambung rantai-rantai mereka yang terdahulu.
Teringat akan kisah pemimpin hebat Umar Abdul Aziz disaat kepimpinannya tiada seorang pun layak menerima zakat. Badannya juga kurus setelah memegang amanah tersebut. Digunakan kuasa yang ada sebaiknya. Lihatlah pemimpin-pemimpin yang terdahulu begaimana mereka memandang sebuah amanah itu.
Mengambil Peluang
Buat pemuda pemudi harapan bangsa ambillah peluang untuk menjadi salah seorang pemimpin. Lahirnya manusia di muka bumi sebagai seorang juara dan pemimpin. Serlahkan bakat kepimpinan yang anda untuk memastikan kita melaksanakan salah satu tugas utama kita di dunia ini.
Bukan pangkat yang dicari, keredhaan Ilahi paling penting. Melaksanakan AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR menjadi kewajiban kepada seorang muslim.
Hidup ini bukan hanya mengisi perut yang kosong, memastikan TPNG sentiasa tinggi dan mendapat keselesaan dalam segala aspek.
Bukan mudah mendapat kenikmatan yang kekal abadi buat selama-lamanya tanpa ada pengorbanan ketika udara masih mampu disedut.
Setiap orang pasti tahu tahap kemampuan dan keupayaan mereka. Dengan itu andai merasakan satu seruan yang kuat untuk meletakkan kita pada tempat pemimpin sahutlah seruan itu.
Buat Pimpinan akan Datang
Dengan niat untuk mengingati dan mendidik, jadilah pemimpin yang mampu menjaga hubungan dengan Allah dan manusia. Jadilah pemimpin yang jauh lebih baik daripada pimpinan-pimpinan yang terdahulu. Kerana hari ini lebih baik daripada semalam.
Laksanakan tanggungjawab yang sebaiknya. Jangan dibiarkan taklifan yang dibebankan itu menjadi satu fitnah kepada agama dan organisasi. Haruslah dipastikan sesuatu perancangan itu diteliti terlebih dahulu, dimantapkan akan pengurusan dan perlaksanaannya. Kita hanya merancang dan Allah yang menentukannya.
Cuba bersihkan tanggapan kita terhadap jawatan yang diberi. Apa posisi sekalipun yang diberikan haruslah dilaksanakan sebaik-baiknya. Buatlah sehingga hati kita merasai nikmat kepuasan dan hasilnya mampu memberi impak kepada yang terlibat. Biar busuk dipandang manusia namun wangi di sisi Allah.
Laksanakan tanggungjawab seikhlas dan sejujurnya. Kerana kepercayaan akan timbul melalui apa yang kita lahirkan melalui perbuatan mahupun hasil daripada perbuatan itu.
Jangan takut sebelum mencuba sesuatu. Selagi tidak bertentangan dengan syariat, teruskanlah sehabis baik.
Jangan takut dengan tugas yang diberikan, yakinlah Allah akan sentiasa memberi pertolongan kepada hamba-hambaNya. Berdoalah dan berserahlah kepada Allah atas segala usaha yang telah dilaksanakan.
Jangan kita terlalu angkuh andai sesuatu yang dirancang menjadi buah mulut dan kebanggaan, ingatlah siapakah yang memberi kemenangan itu.
Akhir kalam, jadilah pemimpin sebenar-benarnya.
Taklif laa Tasyrif
YDP
JPP IPG KPI
2011/2012
Comments